Monday, November 12, 2007

10 November

SEJAK hampir 10 tahun, demontrasi kelmarin (10 November 2007) adalah kedua terbesar selepas 20 September 1998. Ketiga, adalah di "Kesas Highway."

Paling istimewa apabila demo kelmarin disertai dari seluruh ceruk rantau negara. Hero sebenar, bukan pemimpin yang berslogan dan berucap; hero sebenar kita adalah rakyat yang datang dari jauh, dari kampung-kampung dan desa. Makcik-makcik dan pakcik tua, yang turut sama berjalan berbatu-batu. Mereka hero saya!

Seperti biasa, surat khabar diarahkan untuk menipu. Kawan-kawan saya yang bertugas di media perdana mengakui mereka tidak boleh melaporkan berita demontrasi di hadapan Istana Negara. Yang terbit, dalam beberapa laporan, yang dipetik dari Bernama, misalnya, adalah peserta demontrasi seramai 4 ribu orang. Hanya 4 ribu!? Kemudiannya ditukar menjadi 10 ribu. Bukan 10 ribu!
Bagi saya, lebih 50 ribu!

Justeru, sebuah perhimpunan yang melebihi 50 ribu bukan kepalang impaknya. Dengan kekerasan, di Masjid Jamek, gas pemedih mata dan racun cecair digunakan untuk meleraikan orang ramai. Sedangkan, kita boleh beredar dengan cara baik, dan bukan dipaksa seperti melayani peserta demontrasi itu bukan seperti manusia.

Peserta demontrasi, yang datang dari jauh, yang pulang ke kampung halaman, pasti akan menceritakan keadaan sebenar. Apa yang dirasai? Apa yang dilihat? Dan, tidak lagi seperti selalu, anak kota yang balik kampung akan disoal banyak tentang demontrasi, dengan kali ini, mereka sendiri boleh bercerita bagaimana buruknya kelakukan pemerintah. Bagaimana ada sesetengah anggota polis yang sanggup diperkudakan, memukul dan menangkap rakyat yang berhimpun secara aman.

Saya masuk ke hadapan barisan demontrasi bersama Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali. Beliau disambut begitu baik dan bersalam tiada henti, sampai ke barisan hadapan. Di seberang sana, polis dan FRU sudah menungu, dua tiga baris. Mereka mahu menakutkan rakyat, barangkali. Perdana Menteri, Abdullah Badawi, sudah habis ikhtiar dengan memberi amaran agar rakyat tidak menyertai demontrasi. Katanya, "jangan cabar saya."

Empat hari lepas, Abdullah cabar rakyat.

Kelmarin, rakyat cabar Abdullah!

Anwar, yang cuba dibayangkan sebagai pencetus rusuhan, meleraikan perhimpunan dengan aman selepas beliau menyerahkan memorandum kepada wakil Yang Di-pertuan Agong. Jelas, rakyat sayangkan negara, walaupun, sejak 9 tahun lalu, mereka diancam, dipukul dan ditangkap, dan dimalukan... bahkan di dalam televisyen dan surat khabar, mereka dianggap sebagai 'perusuh'.

Ada demontrasi lagi yang perlu diatur. Bukan setakat semalam. Awas!

Hasmi Hashim