Monday, June 05, 2006

201 ahli MIC masuk keADILan

OLEH Zulkifli Mohamed

BUKIT MERTAJAM: KeADILan terus melebarkan sayap, apabila Penasihat Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Jun lalu menerima 201 borang permohonan menyertai parti daripada ahli-ahli MIC di sini.

Mereka diketuai Ketua Pemuda MIC cawangan Bukit Mertajam, M. Pristivaraj dan Pengerusi Biro Kebajikan Bahagian yang juga Ketua Wanita Cawangan Sungai Rambai, A.S Kusala Kumari A/P Shanmugam.

“Kami sudah hilang keyakinan kepada perjuangan MIC yang mengabaikan kebajikan masyarakat India,” jelas Pristivaraj, 29 tahun, yang juga anak kepada Pengerusi MIC cawangan berkenaan.

“Saya juga begitu yakin dengan kepimpinan Datuk Seri (Anwar), yang berjuang membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan kesungguhannya menentang rasuah yang membarah di negara ini,” ujarnya.

Tambahnya beliau juga tertarik dengan konsep parti berbilang kaum dan keadilan untuk semua yang menjadi prinsip perjuangan keADILan.

Sementara, Kusala Kumari, 36, pula menganggap MIC bukan lagi parti masa depan masyarakat India.

“Pemimpin MIC hanya berjuang untuk membolot kekayaan negara, dan terus mengabaikan masyarakat bawahan,” jelasnya.

Katanya ketokohan Datuk Seri Anwar juga antara pendorong beliau memilih wadah keADILan untuk berjuang membela nasib rakyat.

Lulusan dari Amerika Syarikat, beliau bertekad meninggalkan parti yang dianggotai sejak 18 tahun lalu dan berazam menarik seramai mungkin ahli MIC meninggalkan parti itu.

Majlis diadakan sempena Ceramah Perdana Bersama Anwar, di Kampung Tok Panjang yang dihadiri lebih 5000 orang.

Turut berucap pada program berkenaan ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Pengerusi Perhubungan keADILan Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim dan ADUN Padungan, Sarawak, YB Dominic Ng Kim Ho.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home