Saturday, July 08, 2006

Tan Sri Khalid Ibrahim Bendahari baru

BEKAS Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai Bendahari Agung baru Keadilan. Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata dalam satu kenyataannya hari ini bahawa perlantikan itu berkuatkuasa serta-merta.

Khalid juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad. Beliau adalah antara pengasas PNB dan telah memajukan institusi pelaburan bumiputera itu menerusi beberapa skim saham amanah termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Khalid meninggalkan PNB pada Julai 1994 untuk menyertai kumpulan Guthrie. Beliau mempunyai kelayakan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Queensland.

Khalid dilantik menggantikan Abdul Rahman Othman yang meletakkan jawatan. Abdul Rahman dilantik sebagai bendahari Keadilan Mac tahun lalu. Namun begitu, Abdul Rahman dilihat antara yang hadir ke Majlis Dialog bersama Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad 24 Jun lalu di sebuah klub di ibu negara.

Kehadiran beliau itu juga bertentangan dengan keputusan Keadilan yang tidak akan membuat apa-apa kerjasama dengan Dr Mahathir. Selain Abdul Rahman, beberapa pemimpin utama PAS juga hadir.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home