Monday, July 31, 2006

Johor akan buat kejutan

OLEH Zailan A Hamid

SUNGAI SAYONG (Tenggara) ~ Semangat dan sejarah perjuangan orang Johor demi memelihara harga diri bangsa merupakan teras kepada kebangkitan rakyat Johor menentang penindasan dan ketidakadilan yang dilakukan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.

Ketika berucap di hadapan penyokong pembangkang dekat sini, Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau cukup yakin bahawa dalam pilihanraya umum akan datang, negeri ini mampu untuk membuat kejutan.

“Johor akan membuat kejutan besar… Memang ada yang tak yakin, tetapi yang jelas negeri ini mempunyai sejarah perjuangan bangsa yang jelas, termasuk apa yang dilakukan oleh Dato’ Onn [Jaafar] untuk membebaskan bangsa daripada kezaliman penjajah,” pidato Anwar.

Dalam majlis 29 Julai itu, Anwar turut berucap bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Para hadiran yang hadir ternyata daripada pelbagai latar belakang, dan bukan hanya di kalangan ahli-ahli parti pembangkang atau satu bangsa sahaja. Dengan itu, Anwar merayu agar semua ahli dan pimpinan Umno, MCA dan MIC peringkat bawah menyeberang masuk Keadilan.

“Saya yakin bahawa ramai ahli-ahli dan pemimpin Umno peringkat bawah cukup jujur. Tetapi, beritahu saya siapa di kalangan pemimpin Umno peringkat atasan (?) yang hidupnya sederhana. Semuanya mempunyai harta ratusan juta ringgit,” tambah Anwar. Ketika itu, para hadiran juga menyahut dengan berkata, “betul!”

Beliau juga dengan penuh bersemangat menyatakan bahawa seandainya seluruh rakyat jelata tahu betapa buruknya sistem dan korupsi yang berlaku di kalangan pemimpin Negara, mereka pasti akan segera meninggalkan Umno.

“Kalaulah saudara semua tahu betapa buruk dan rosaknya sistem hari ini, maka saudara semua tidak akan sanggup lagi duduk dalam Umno,” katanya.

Anwar menambah, sekalipun ramai yang tidak begitu yakin bahawa Umno dan BN Johor tidak boleh ditumbangkan, tetapi kenyataan sejarah bahawa pembangkang juga pernah kuat dan tidak mati di Johor.

“Bahkan Pulau Pinang juga pernah jatuh ke tangan pembangkang; Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, bahkan di Johor juga pernah pembangkang cukup kuat dan menang di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi, saya yakin dalam pilihanraya umum akan dating, kita boleh menang,” kata Anwar lagi.

Pada sebelah petangnya, Anwar sempat merasmikan Ibu Pejabat Keadilan Negeri di Taman Teratai, Skudai sebelum mengadakan jamuan tertutup dengan ahli-ahli perniagaan dan pemimpin setempat.

Sehari selepas lawatan Anwar, Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi juga mengadakan lawatan ke negeri ini dan mengumumkan satu projek mega untuk menjadikan Johor Bahru sebagai kosmopolitan yang dikatakan standing Hong Kong dan Shenzhen di China. Projek berkenaan dikenali sebagai Pembanguna Wilayah Selatan Johor (SJER). Namun lawatan Abdullah itu hanya disambut hanya kira-kira dua ribu orang berbanding kira-kira lapan ribu yang menyambut Anwar.

Dalam dua ucapannya pada dua sesi tersebut, Anwar umumnya menekankan beberapa masalah yang timbul termasuk kegagalan kerajaan untuk berunding dalam isu “jambatan bengkok.” Beliau juga kecewa dengan sikap Abdullah Ahmad Badawi yang sehingga kini gagal menjelaskan tentang konsep “Islam Hadhari” sehingga membuatkan ramai yang terkeliru dengan konsep berkenaan.

“Sejak zaman Mahathir, beliau mendakwa negara ini adalah Negara Islam. Sebagai Muslim, saya tidak bersetuju apabila “Negara Islam” tetapi dipenuhi dengan rasuah dan pembohongan pemimpin,” kata Anwar.

Oleh itu, perjuangan Keadilan jauh lebih jelas dan kehadapan apabila parti ini menjadi satu-satunya parti yang menggariskan beberapa isu utama termasuk Dasar Bahasa dan Dasar Pendidikan seluruhnya, Agenda Ekonomi Baru yang menyanggah Dasar Ekonomi Baru yang lebih tertumpu untuk satu bangsa sahaja. Anwar juga menyatakan Keadilan bersama parti pembangkang akan terus berjuang untuk membebaskan rakyat daripada semua sistem yang mengongkong.

“Saya tidak kisah kalau apa yang saya buat ini diberi pelbagai label. Tak kiralah orang boleh panggil apa sahaja, samada “liberal”… atau apa sahaja. Yang penting saya yakin bahawa inti dan tuntutan syariah itu adalah untuk membawa keadilan,” tambahnya lagi.

Turut mengiring Anwar di sepanjang lawatannya ke negeri ini kali ini ialah Pengerusi Keadilan Negeri Johor, Dr Zaleha Mustafa, Timbalannya, Lee Sang, Setiausaha Agung, Dato’ Kamarul Bahrin Abas dan pemimpin peringkat negeri dan bahagian.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home