Sunday, March 11, 2007

Hasmi turut dicalon Timbalan Ketua Angkatan Muda

OLEH Ammar Rozi

KUALA LUMPUR (11 Mac 2007) ~ Ketua Bahagian Parit Sulong, Hasmi Hashim, 31, mendapat pencalonan sebagai Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMK) menjelang Kongres Nasional Keadilan kali ke-3, hujung Mei depan.

Pencalonan tersebut diperolehi dari AMK Bahagian Ampang yang bermesyuarat pada 9 Mac lalu. Hasmi ketika dihubungi sedang menghadiri program temurapat pemimpin-pemimpin Keadilan zon Selatan yang diadakan di Melaka berkata, beliau berterima kasih dengan pencalonan tersebut.

“Saya baru sahaja diberi kepercayaan menerajui Bahagian Parit Sulong, dan tentunya saya dianggap sebagai orang baru; konon bukan di kalangan pimpinan AMK negeri atau pusat yang lama. Saya bersama Reformasi sejak 1998; membantu dengan serius Parti Keadilan sejak Keadilan tertubuh dan bergabung. Soal pengalaman sewajarnya tidak timbul,” ujarnya.

Setakat ini, beberapa nama yang turut dicalonkan sebagai Timbalan Ketua AMK bermasuklah muka-muka lama seperti Fariz Musa, Ahmad Zaki Zamani dan Badrul Hisham Mohd Tahir. Nama lain yang disebut-sebut turut meninjau pencalonan ke jawatan tersebut termasuklah Khairul Anuar Khairuddin (Jonah) dan SD Johari. Menurut Perlembagaan Parti, bagi melayakkan seseorang calon boleh bertanding di dalam Kongres Nasional harus menerima sekurang-kurangnya dua pencalonan daripada dua bahagian.

Dua jawatan tertinggi AMK kosong apabila ketuanya, Ezam Mohd Nor dan timbalannya Faisal Sanusi melepaskan jawatan masing-masing beberapa bulan lalu.

“Saya tegaskan betapa penting barisan AMK selepas Kongres Nasional nanti dibarisi pimpinan cukup mantap kerana kita perlu barisan terbaik dalam Pilihanraya Umum akan datang. Perlu ada agenda dan gerak kerja yang jelas,” tegasnya lagi.

Menurut Hasmi, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pemimpin dan ahli akar umbi untuk menentukan barisan pimpinan terbaik yang akan menerajui AMK. Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan beberapa pihak yang cuba membayangkan pertandingan dalam parti sebagai sesuatu yang 'buruk'.

“Secara prinsipnya, pertandingan dan persaingan adalah sesuatu yang sihat; memugar kegiatan dan pemikiran ahli-ahli parti. Di kalangan parti-parti utama, hanya Keadilan yang berani melangsaikan pertandingan dalam parti di saat Pilihanraya Umum dikatakan hampir.

"Alasan konon pertandingan akan menjejaskan tumpuan Pilihanraya Umum adalah dusta politik. Pertandingan kali ini adalah peluang terbaik memperkemas saf AMK semua peringkat. Saya tak setuju kalau lawan sekadar berebut atau mempertahan jawatan,” tambahnya lagi.

Ketika ditanya apakah beliau akan menerima pencalonan sebagai Timbalan Ketua AMK sekiranya cukup bahagian yang mencalonkan beliau, Hasmi menjawab, "Saya akan bincang dengan keluarga, teman-teman dan pemimpin. Tumpuan saya masih kepada agenda perjuangan masa depan."

Bahagian Ampang turut mencalonkan Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Ketua dan tiga jawatan Naib AMK ialah Sharifah Shahida, Amiruddin Shaari dan Khairul Anuar Khairuddin. Seluruh Bahagian Keadilan dijangka mengakhiri mesyuarat agung masing-masing hujung Mac ini.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home