Sunday, March 18, 2007

Ketua Angkatan Muda: Masjid Tanah Calon Hasmi

OLEH Ammar Rozi

MELAKA (18 Mac 2007)
~ Genap seminggu selepas mendapat pencalonan ke jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hasmi Hashim, 31, hari ini memperolehi pencalonan pula sebagai Ketua AMK dari bahagian Masjib Tanah.

Keputusan tersebut tentunya menggemparkan terutama datang dari negeri Pemangku Ketua Angkatan Muda sendiri, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang kini Ketua Bahagian Jasin, dekat sini. Minggu lalu, Hasmi turut dicalonkan ke jawatan timbalan ketua oleh AMK bahagian Ampang, Selangor.

Hasmi [foto sebelah] ketika dihubungi berkata, beliau terharu dengan pencalonan tersebut dan menganggap ia sebagai penanda di mana ahli-ahli AMK mula berani menyuarakan hasrat menuntut perubahan terhadap agenda dan struktur AMK.

“Istimewa apabila pencalonan ini datang daripada bahagian yang tidak disangka-sangka dari Melaka. Kita perlu mengatur program segera untuk memantapkan AMK seluruh negara, termasuk di Melaka. Hari ini saya dengar suara mereka semakin jelas,” kata Hasmi kepada Blog Parit Sulong.

Namun seperti juga sebelum ini, beliau masih belum memberi kata putus untuk bertanding ke mana-mana jawatan tertinggi dalam AMK, termasuk timbalan mahupun ketua AMK. Hasmi berkata, "keutamaan saya sekarang ialah menggarap “Agenda Pencerahan” sebagai obor baru yang melengkapi makna dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia yang ditulis Penasihat. Di sana inspirasi kita bermula..."

Selain Hasmi yang dicalon sebagai ketua, AMK Masjid Tanah turut mencalonkan "Puteri Reformasi", Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan ketua dan naib-naib ketua pula ialah Amiruddin Shaari (Exco AMK Pusat), Lee Khai Loon (muka baru yang kini sebagai pengarah sebuah badan bukan kerajaan [NGO]: Youth For Change) dan ketua AMK Kelantan, Zamakhsari Ibrahim.

Dalam pada itu, tersebar khabar angin yang menyatakan Hasmi sudahpun mengumumkan kesediaan untuk bertanding ke jawatan tertinggi AMK dalam satu program yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) di ibu negara, [foto bawah] 17 Mac lalu.

“Saya hadir program IKD sebagai penceramah undangan untuk melatih lebih 30 penulis-penulis muda. Ada slot di mana saya dijemput untuk diwawancara oleh penulis dan wartawan muda. Mereka bebas untuk menanyakan apa-apa soalan,” ulas Hasmi.

Hasmi juga menjelaskan pencalonan Majlis Tanah yang beliau perolehi untuk jawatan tertinggi AMK nasional sebagai mesej jelas di mana AMK akar umbi—termasuk di Melaka—mempunyai inspirasi berbeza dengan retorika pemimpin tertinggi AMK pusat sekarang.

“Ternyata hasratnya ialah menuntut agar AMK mempunyai agenda baru yang jelas selain barisan pimpinan yang benar-benar dapat diharap untuk berhadapan dengan parti-parti seteru dalam Pilihanraya Umum yang tak lama lagi. Tidak bermakna status quo terlalu kental kalau akhirnya tewas dalam Pilihanraya Umum,” tambah Hasmi yang juga Ketua Bahagian Parit Sulong, Johor.

Selain pencalonan peringkat AMK, Bahagian Masjid Tanah turut mencalonkan Azmin Ali ke jawatan timbalan presiden dan Anwar Ibrahim selaku Presiden. Azmin dan Anwar kini masing-masing mendapat pencalonan tertinggi untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Hasmi berkata, pencalonan Anwar dan Azmin jelas membayangkan bagaimana inspirasi baru sedang bergerak deras untuk persiapan menghadapi Pilihanraya Umum. Hasmi juga menyatakan bahawa arus yang sama sedang mengalir di kalangan ahli-ahli AMK seluruh negara selepas pemimpin utama AMK melepaskan jawatan beberapa bulan lalu.

“Pemimpin datang dan pergi… selepas pengunduran Ezam Mohd Nor dan Faisal Sanusi, kita tidak mahu bara perjuangan terpadam. Sekarang AMK dan Keadilan sendiri sudah memasuki garis baru perjuangan dan gelombang baru sedang terbentuk cukup luar biasa,” katanya lagi.

Blog Parit Sulong juga difahamkan bahawa ada usaha beberapa pihak yang cuba menghalang mencalonkan Hasmi ke jawatan tertinggi, termasuk timbalan dan ketua AMK. Usaha tersebut dikatakan kuat berlaku di Johor dan beberapa negeri utara Semenanjung.

Hasmi ketika mengulas hal berkenaan bagaimana pun menganggap kalau benar wujud usaha sedemikian, maka ahli-ahli akar umbi akan segera buka mata dan mula merasakan "ada yang tidak kena" dengan struktur sekarang.

"Ternyata seolah-olah ada 'pemain tengah' yang ligat berpolitik sekalipun tidak menghayati erti demokrasi sebagai tiang seri Parti. Yang penting kita tidak tandus idea dan agenda perjuangan," tambahnya lagi.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home