Saturday, March 31, 2007

"Team Pencerahan" Semua Layak Bertanding

OLEH Ammar Rozi

KUALA LUMPUR (1 April 2007): Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian (MATB) bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang tamat 31 Mac lalu menyaksikan beberapa kejutan bagi pencalonan jawatan tertingginya.

Beberapa nama baru juga dilihat turut menerima pencalonan yang cukup untuk bertanding, termasuklah Ketua Bahagian Parit Sulong, Hasmi Hashim, 31, [foto sebelah] ke jawatan Ketua AMK Pusat dan Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar, 28 untuk jawatan Timbalan Ketua.

Bahkan, satu senarai mantap kepimpinan generasi baru AMK yang dikenali sebagai "Team Pencerahan" juga mendapat pencalonan yang cukup daripada beberapa bahagian seluruh negara. Blog Parit Sulong difahamkan setakat ini hanya "senarai Tem Pencerahan" sahaja yang konsisten dengan nama-nama calon yang dicadangkan. Bahagian pertama yang mencalonkan senarai lengkap Team Pencerahan ialah AMK Masjid Tanah, Melaka, 18 Mac lalu.

Sejak itu, pencalonan terhadap Hasmi yang dikatakan menggalang bersama Team Pencerahan terus meningkat di negeri-negeri Pantai Barat seperti Perak, Kedah, Perlis, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor selain khabarnya turut mula diterima di negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan.

Lebih mengejutkan apabila pencalonan mendadak ini berlaku hanya dalam masa kurang daripada dua minggu sahaja sebelum tempoh mesyuarat Agung AMK bahagian-bahagian habis bermesyuarat. Antara faktor utama yang menyebabkan ahli akar umbi dapat menerima senarai generasi baru dalam Team Pencerahan adalah gabungan muka baru dan lama yang cukup mantap untuk membawa gagasan baru dalam AMK.

Selepas tamat MATB, Hasmi juga kini sah merupakan ketua bahagian termuda dengan mengepalai Bahagian Parit Sulong, Johor. Sementara itu, Perlembagaan Parti menetapkan sekurang-kurangnya dua pencalonan kepada mana-mana calon untuk melayakkan mereka bertanding ke jawatan peringkat nasional.

Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar, 28, yang tersenarai dalam team berkenaan juga mendapat pencalonan cukup memberangsang bagi membolehkan beliau layak bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK Pusat dalam Kongres Nasional Tahunan ke-4 kelak. Kongres AMK Nasional dijadualkan berlangsung hujung Mei nanti, di Seremban, Negeri Sembilan.

Muka-muka baru yang turut mendapat cukup pencalonan termasuklah, Lee Khai Loon, 26, [foto atas, kanan] untuk jawatan Naib Ketua AMK. Khai Loon kini merupakan Pengarah Youth For Change (Y4C) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengkalan di ibu negara.

Selain itu, Amiruddin Shaari, 27, dan Zamakhsari Ibrahim, 37, yang kedua-duanya merupakan exco AMK Pusat juga mendapat pencalonan yang cukup untuk jawatan Naib Ketua. Selain exco, Amiruddin [foto bawah, kiri] juga merupakan Ketua AMK Bahagian Hulu Selangor dan Zamakahsari pula Ketua AMK Kelantan.

Selain Hasmi, untuk jawatan Ketua AMK Pusat, sekurang-kurangnya dua nama lain turut dicalonkan ialah Shamsul Iskandar Mohd Akin, 35, dan Badrul Hisham Mohd Tahir, 30. Shamsul yang juga Ketua Bahagian Jasin, Melaka, kini merupakan pemangku jawatan Ketua AMK Pusat.

Era generasi lama AMK dikira 'tamat' selepas Ezam Mohd Nor melepaskan jawatan sebagai Ketua AMK beberapa bulan lalu. Ezam bulan lalu juga meletakkan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Selangor dan semua jawatannya dalam Parti.

Untuk Jawatan Timbalan Ketua AMK pula, selain Nurul Izzah [foto atas, kiri], antara nama-nama lain yang mendapat pencalonan termasuklah Sharifah Shaidah Syed Kamaruzaman, 28, (kini Naib Ketua AMK Pusat), SD Johari, 38, (kini Setiausaha AMK Pusat), Fariz Musa, 36, (kini Axco AMK Pusat) dan Khairul Anuar Khairuddin alias Jonnah, 28, (kini exco AMK Pusat).

Namun sejak “Pencalonan Masjid Tanah” yang mewujudkan kegemparan, tersebar desas-desus yang menyatakan mesyuarat AMK bahagian berkenaan kononnya tidak sah dan cuba dibatalkan oleh pihak tertentu.

Ketika Blog Parit Sulong cuba mendapatkan ulasan mengenai perkara berkenaan, Hasmi yang dihubungi berada di Perak berkata, beliau akan memberikan kenyataan apabila mendapat maklumat penuh mengenai pencalonan bahagian-bahagian di seluruh negara.

Beliau bagaimana pun menganggap perkara itu sebagai "lumrah" dan mengajak semua pihak memandang ke hadapan demi menjayakan Agenda Perubahan yang dijanjikan Keadilan. Sementara itu, Amiruddin yang dikatakan sebagai orang kuat Team Pencerahan juga enggan mengulas lanjut dan beliau ketika dihubungi berada di Pulau Pinang.

Dalam ucapannya di Keramat dekat sini, 24 Mac lalu, Hasmi buat pertama kalinya menyeru agar generasi muda perlu bersedia bersama membawa "Gagasan Pencerahan" sebagai kelangsungan perjuangan reformasi.

[kembali ke halaman utama]

3 Comments:

Blogger pemerhati said...

Rasanya kalian kukuhkan dahulu jentera-jentera di bahagian masing-masing.
Wujudkan seberapa banyak JDM di tempat masing-masing.
Cari dan aktifkan kembali ahli-ahli awal keADILan yang cukup ramai di era awal reformasi dahulu.
Biarkan kepimpinan sekarang ini terus wujud.Untuk meneruskan agenda perjuangan AMK sekarang.
Usah risau...ahli-ahli akan menilai pemimpin mana yang bekerja keras dan harapan mereka untuk menjadi pemimpin pusat kelak dalam pemilihan 2 tahun lagi cerah...jika kalian dapat menghidupkan kembali bahagian-bahagian kalian.

12:04 AM  
Blogger razali said...

Sokong.

beri tempuh untuk ahli menilai gerak kerja kali ini.

beri peluang pada sdr shamsul iskandar dan barisan exconya

Jika masih lesu.....tukar kepada barisan yang lebih berwibawa.

Juga amat harap agar muka - muka baru kononnya di panggil team pencerahan ini dapat mengerakkan bahagian atau negeri di mana mereka aktif kini.

Jika berhasil.....akan di beri peluang dalam pemilihan akan datang.

buktikan di tempat masing-masing dahulu

kamu semua masih muda....masih miliki banyak masa dan waktu

tak perlu potong garisan.peluang tetap ada jika dapat dibuktikan

nah...bila lagi?...mulakan sekarang di negeri-negeri kalian.sekali lagi BUKTIKAN MAMPU.

12:28 AM  
Blogger Mr Bean said...

Tahniah saudara hasmi hashim.
Secara peribadi saya tabik pada saudara hasmi hashim.
Tidak perlu bermula dari bawah.Tidak perlu di uji kemampuannya dengan jawatan exco AMK pusat atau mana2 jawatan tertinggi AMK Pusat.
Terus nak pegang jawatan Ketua AMK Pusat.Lepas ni terus nak pegang jawatan MENTERI,dan PERDANA MENTERI.
Teruskan usaha saudara.
Ingat yang lain....tidak semestinya ingin jawatan KETUA,kita bermula dari bawah.LAMBAT.
Terus je bertanding jawatan KETUA.Baru CEPAT dan PANTAS.

12:34 AM  

Post a Comment

<< Home