Wednesday, June 07, 2006

Bubar sahaja Cawangan Umno ~ Anwar

BATU KAWAN (Perak) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menggeasa Ketua-ketua Umno Cawangan seluruh negara membubarkan cawangan masing-masing kerana parti itu makin rosak teruk dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Ketika membuat seruan tersebut di dalam program pidatonya dekat sini 5 Jun lalu, Anwar berkata, kerosakkan Umno itu disahkan sendiri oleh beberapa orang Ketua Bahagian di beberapa buah negeri termasuk individu ternama yang bertemu dengannya supaya menyertai Umno semula untuk memperbaiki keadaan yang semakin kritikal.

"Ramai kepimpinan Umno sama ada bahagian atau individu datang bertemu saya sama ada di rumah atau semasa luar negara mendesak saya sertai Umno untuk selamatkan keadaan ekoran Umno berada pada paras nyawa-nyawa ikan," tegasnya.

Tindakan membubar katanya, merupakan langkah paling bijak kerana parti itu bukan lagi sebuah parti yang membantu meningkatkan sosio ekonomi, pendidikan mahupun agama Islam.
Ia lebih mirip kepada kronisme sedangkan yang berjuang bermati-matian adalah golongan bawahan.

"Apa ada pada Umno lagi, nak katakan pejuang bangsa dan agama ia dah lari dari tajuk. Nak kata berjuang bidang pendidikan orang Melayu dah kurang ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Apa yang ada hanyalah agihan pendapatan negara diberikan sesama sendiri," ujarnya.

Menurut Anwar lagi, beliau tahu kepimpinan Umno sendiri memahami keadaan ini tetapi tidak berani bersuara kepada rakyat atau ahli diperingkat akar umbi.

Mereka bimbang katanya, hilang kuasa dan terhina kerana bersekongkol dengan golongan yang meruntuhkan agama dari parti yang suatu ketika dulu berjuang demi bangsa, agama dan negara.

"Umno dah hilang sebagai pejuang bangsa, agama dan negara. Sekarang ini marilah beri sokongan dengan menyertai keADILan. Jangan takut untuk buat perubahan, kerana yang penting sekarang ini ialah maruah negara yang perlu dibersihkan," ujar beliau.

Menyertai Umno tegasnya, tidak sekali kerana Umno umpama kereta yang harus ditukar bukan diperbaiki. [sumber: harakahdaily]

[kembali ke halaman utama]

Monday, June 05, 2006

201 ahli MIC masuk keADILan

OLEH Zulkifli Mohamed

BUKIT MERTAJAM: KeADILan terus melebarkan sayap, apabila Penasihat Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Jun lalu menerima 201 borang permohonan menyertai parti daripada ahli-ahli MIC di sini.

Mereka diketuai Ketua Pemuda MIC cawangan Bukit Mertajam, M. Pristivaraj dan Pengerusi Biro Kebajikan Bahagian yang juga Ketua Wanita Cawangan Sungai Rambai, A.S Kusala Kumari A/P Shanmugam.

“Kami sudah hilang keyakinan kepada perjuangan MIC yang mengabaikan kebajikan masyarakat India,” jelas Pristivaraj, 29 tahun, yang juga anak kepada Pengerusi MIC cawangan berkenaan.

“Saya juga begitu yakin dengan kepimpinan Datuk Seri (Anwar), yang berjuang membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan kesungguhannya menentang rasuah yang membarah di negara ini,” ujarnya.

Tambahnya beliau juga tertarik dengan konsep parti berbilang kaum dan keadilan untuk semua yang menjadi prinsip perjuangan keADILan.

Sementara, Kusala Kumari, 36, pula menganggap MIC bukan lagi parti masa depan masyarakat India.

“Pemimpin MIC hanya berjuang untuk membolot kekayaan negara, dan terus mengabaikan masyarakat bawahan,” jelasnya.

Katanya ketokohan Datuk Seri Anwar juga antara pendorong beliau memilih wadah keADILan untuk berjuang membela nasib rakyat.

Lulusan dari Amerika Syarikat, beliau bertekad meninggalkan parti yang dianggotai sejak 18 tahun lalu dan berazam menarik seramai mungkin ahli MIC meninggalkan parti itu.

Majlis diadakan sempena Ceramah Perdana Bersama Anwar, di Kampung Tok Panjang yang dihadiri lebih 5000 orang.

Turut berucap pada program berkenaan ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Pengerusi Perhubungan keADILan Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim dan ADUN Padungan, Sarawak, YB Dominic Ng Kim Ho.

[kembali ke halaman utama]

Saturday, June 03, 2006

Poster Anwar kena cabut

DEWAN Bandaraya Melaka Bersejarah kini sedang giat menjalankan kerja-kerja membuang poster yang dipasangkan oleh Parti Keadilan Rakyat (keADILan) mengenai majlis minum petang bersama Penasihat parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kira-kira lima ribu poster mengenai majlis tersebut telah diedarkan dan sebahagiannya dilekatkan di kawasan bandar di Bukit Baru, Melaka Baru, Ayer Molek dan Bukit Beruang.

Tetapi, menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda keADILan, Syamsul Iskandar,, sepasukan kakitangan dewan bandaraya itu, yang diketuai oleh pegawai Hairiz Nordin, dilihat membuang poster tersebut sejak pagi semalam.

“Kami pergi menemuinya dan Hairiz berkata berkata beliau hanya menjalankan arahan pegawai atasannya. Kami mengesyaki arahan tersebut dibuat oleh datuk bandar sendiri,” kata Syamsul ketika dihubungi.

Dwi Standard

Tetapi apabila Syamsul dan yang lainnya tiba di dewan bandaraya tersebut, mereka terpaksa menunggu selama dua jam sebelum diberitahu tiada pegawai yang dapat menemui mereka.

Syamsul mendakwa, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan dewan bandaraya tersebut nampaknya tiada masalah dengan poster dan kain rentang yang dipasang oleh Barisan Nasional di kawasan pentadbirannya.

“Jika ianya mengenai isu permit, maka sudah tentulah poster Barisan Nasional (BN) juga sudah diturunkan. Mengapa berlakuny dwi-standard?” tambahnya.

Mengenai majlis hari ini, Syamsul menjangkakan lebih seribu orang akan menghadiri majlis minum petang dan ceramah di Warung Reformasi di Jalan Tiang Dua, Ayer Molek. [Dipetik daripada malaysiakini]