Monday, July 31, 2006

Johor akan buat kejutan

OLEH Zailan A Hamid

SUNGAI SAYONG (Tenggara) ~ Semangat dan sejarah perjuangan orang Johor demi memelihara harga diri bangsa merupakan teras kepada kebangkitan rakyat Johor menentang penindasan dan ketidakadilan yang dilakukan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.

Ketika berucap di hadapan penyokong pembangkang dekat sini, Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau cukup yakin bahawa dalam pilihanraya umum akan datang, negeri ini mampu untuk membuat kejutan.

“Johor akan membuat kejutan besar… Memang ada yang tak yakin, tetapi yang jelas negeri ini mempunyai sejarah perjuangan bangsa yang jelas, termasuk apa yang dilakukan oleh Dato’ Onn [Jaafar] untuk membebaskan bangsa daripada kezaliman penjajah,” pidato Anwar.

Dalam majlis 29 Julai itu, Anwar turut berucap bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Para hadiran yang hadir ternyata daripada pelbagai latar belakang, dan bukan hanya di kalangan ahli-ahli parti pembangkang atau satu bangsa sahaja. Dengan itu, Anwar merayu agar semua ahli dan pimpinan Umno, MCA dan MIC peringkat bawah menyeberang masuk Keadilan.

“Saya yakin bahawa ramai ahli-ahli dan pemimpin Umno peringkat bawah cukup jujur. Tetapi, beritahu saya siapa di kalangan pemimpin Umno peringkat atasan (?) yang hidupnya sederhana. Semuanya mempunyai harta ratusan juta ringgit,” tambah Anwar. Ketika itu, para hadiran juga menyahut dengan berkata, “betul!”

Beliau juga dengan penuh bersemangat menyatakan bahawa seandainya seluruh rakyat jelata tahu betapa buruknya sistem dan korupsi yang berlaku di kalangan pemimpin Negara, mereka pasti akan segera meninggalkan Umno.

“Kalaulah saudara semua tahu betapa buruk dan rosaknya sistem hari ini, maka saudara semua tidak akan sanggup lagi duduk dalam Umno,” katanya.

Anwar menambah, sekalipun ramai yang tidak begitu yakin bahawa Umno dan BN Johor tidak boleh ditumbangkan, tetapi kenyataan sejarah bahawa pembangkang juga pernah kuat dan tidak mati di Johor.

“Bahkan Pulau Pinang juga pernah jatuh ke tangan pembangkang; Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, bahkan di Johor juga pernah pembangkang cukup kuat dan menang di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi, saya yakin dalam pilihanraya umum akan dating, kita boleh menang,” kata Anwar lagi.

Pada sebelah petangnya, Anwar sempat merasmikan Ibu Pejabat Keadilan Negeri di Taman Teratai, Skudai sebelum mengadakan jamuan tertutup dengan ahli-ahli perniagaan dan pemimpin setempat.

Sehari selepas lawatan Anwar, Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi juga mengadakan lawatan ke negeri ini dan mengumumkan satu projek mega untuk menjadikan Johor Bahru sebagai kosmopolitan yang dikatakan standing Hong Kong dan Shenzhen di China. Projek berkenaan dikenali sebagai Pembanguna Wilayah Selatan Johor (SJER). Namun lawatan Abdullah itu hanya disambut hanya kira-kira dua ribu orang berbanding kira-kira lapan ribu yang menyambut Anwar.

Dalam dua ucapannya pada dua sesi tersebut, Anwar umumnya menekankan beberapa masalah yang timbul termasuk kegagalan kerajaan untuk berunding dalam isu “jambatan bengkok.” Beliau juga kecewa dengan sikap Abdullah Ahmad Badawi yang sehingga kini gagal menjelaskan tentang konsep “Islam Hadhari” sehingga membuatkan ramai yang terkeliru dengan konsep berkenaan.

“Sejak zaman Mahathir, beliau mendakwa negara ini adalah Negara Islam. Sebagai Muslim, saya tidak bersetuju apabila “Negara Islam” tetapi dipenuhi dengan rasuah dan pembohongan pemimpin,” kata Anwar.

Oleh itu, perjuangan Keadilan jauh lebih jelas dan kehadapan apabila parti ini menjadi satu-satunya parti yang menggariskan beberapa isu utama termasuk Dasar Bahasa dan Dasar Pendidikan seluruhnya, Agenda Ekonomi Baru yang menyanggah Dasar Ekonomi Baru yang lebih tertumpu untuk satu bangsa sahaja. Anwar juga menyatakan Keadilan bersama parti pembangkang akan terus berjuang untuk membebaskan rakyat daripada semua sistem yang mengongkong.

“Saya tidak kisah kalau apa yang saya buat ini diberi pelbagai label. Tak kiralah orang boleh panggil apa sahaja, samada “liberal”… atau apa sahaja. Yang penting saya yakin bahawa inti dan tuntutan syariah itu adalah untuk membawa keadilan,” tambahnya lagi.

Turut mengiring Anwar di sepanjang lawatannya ke negeri ini kali ini ialah Pengerusi Keadilan Negeri Johor, Dr Zaleha Mustafa, Timbalannya, Lee Sang, Setiausaha Agung, Dato’ Kamarul Bahrin Abas dan pemimpin peringkat negeri dan bahagian.

[kembali ke halaman utama]

Thursday, July 13, 2006

Bendahari Agung baru mula tugas

OLEH Claudia Theophilus

BENDAHARI Agung baru Parti Keadilan Rakyat, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sudah tiba masanya bagi beliau menyumbang secara terus bagi membetulkan kesilapan yang berlaku dalam pentadbiran negara selama ini.

Katanya, selama ini beliau banyak memainkan peranan di belakang tabir tetapi perkembangan terkini politik negara termasuk pendedahan pelbagai kesilapan kerajaan telah mendorongnya untuk memberi komitmen kepada politik.

“Tahun lalu saya banyak berceramah tentang faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dalam merangka polisi masa depan antarnya termasuklah soal ketelusan, keadilan, kesamarataan dan hak mendapatkan maklumat.

Kini telah terdedah banyak penyelewengan dan kesilapan kerajaan, oleh itu saya rasa inilah masa yang sesuai untuk menceburi politik,” kata tokoh korporat itu dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Beliau juga berpendapat inilah masa terbaik bagi Keadilan untuk bergerak kerana pentadbiran kerajaan tidak boleh dibiarkan terus disalahurus.

“Pengurusan kerajaan mestilah mengikut konsep yang betul. Cara dan matlamatnya mesti betul,” ujarnya.

Pada sidang media itu Khalid diserahkan secara rasmi surat perlantikannya sebagai Bendahari Agung Keadilan oleh Presiden parti itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Apa yang saya katakan tahun lalu telah menjadi kenyataan. Sekarang saya boleh terus memberi penjelasan bagi menghilangkan kekeliruan rakyat yang berpunca dari asas-asas yang salah selama ini,” tambahnya.

Menyentuh tentang krisis antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai beberapa dasar lama kerajaan, Khalid berkata, itu menunjukkan negara akan menghadapi pelbagai masalah.

“Krisis antara kedua-dua tokoh ini menunjukkan selama ini negara ini tidak ditadbir dengan baik. Pelbagai tanda-tanda salahurus dan penyelewengan akan muncul dan rakyat akan menanggung kerugiannya.

Drama membabitkan kedua-dua tokoh ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia adalah drama yang melibatkan jutaan Ringgit tetapi hanya menguntungkan segelintir pemimpin dan membebankan majoriti rakyat,” ujarnya.

Ditanya tentang rancangannya untuk Keadilan, Khalid berkata, beliau akan menggunakan segala pengalamannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi merencana program ekonomi dan menguruskan kewangan parti.

“Saya sangat berminat dengan program pembangunan masyarakat dan berharap dapat merangka satu rancangan yang baik dan berkesan bagi mencapai strategi parti,” tambahnya.

Perlantikan Khalid sebagai Bendahari Agung baru Keadilan dibuat oleh Wan Azizah pada minggu lalu bagi menggantikan Abdul Rahman Othman yang meletakkan jawatannya. Khalid menjadi ahli Keadilan sebulan yang lalu. - Sumber: Malaysiakini.

[kembali ke halaman utama]

Saturday, July 08, 2006

Tan Sri Khalid Ibrahim Bendahari baru

BEKAS Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai Bendahari Agung baru Keadilan. Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata dalam satu kenyataannya hari ini bahawa perlantikan itu berkuatkuasa serta-merta.

Khalid juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad. Beliau adalah antara pengasas PNB dan telah memajukan institusi pelaburan bumiputera itu menerusi beberapa skim saham amanah termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Khalid meninggalkan PNB pada Julai 1994 untuk menyertai kumpulan Guthrie. Beliau mempunyai kelayakan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Queensland.

Khalid dilantik menggantikan Abdul Rahman Othman yang meletakkan jawatan. Abdul Rahman dilantik sebagai bendahari Keadilan Mac tahun lalu. Namun begitu, Abdul Rahman dilihat antara yang hadir ke Majlis Dialog bersama Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad 24 Jun lalu di sebuah klub di ibu negara.

Kehadiran beliau itu juga bertentangan dengan keputusan Keadilan yang tidak akan membuat apa-apa kerjasama dengan Dr Mahathir. Selain Abdul Rahman, beberapa pemimpin utama PAS juga hadir.

[kembali ke halaman utama]